Wednesday 5 September 2012

EDU3108- “Guru Miang Melampau”- bahagian 1

“GURU MIANG MELAMPAU”
Oleh:
Nurul Husna Binti Ideris

1.0 PENGENALAN
               Profesion keguruan merupakan satu profesion yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menjulang martabat pendidikan di negara kita Malaysia.Ini kerana golongan guru merupakan golongan utama yang diamanahkan untuk bertanggungjawab membantu negara dalam mencapai matlamat utama pendidikan di Negara kita iaitu untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan Negara melalui perkembangan bersepadu individu yang menyeluruh dari segi jasmani,emosi,rohani,intelek,dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).
Dewasa ini, banyak perkembangan dan pembangunan dari pelbagai aspek yang berlaku di sekeliling kita. Sama ada kita sedar atau tidak, perkembangan dan pembangunan yang kita lihat hari ini adalah hasil kerjasama ahli masyarakat terutamanya golongan profesional. Antara bidang profesional yang terlibat adalah keguruan, perubatan, kejuruteraan, perundangan dan lain – lain.
 Apa yang dimaksudkan dengan  profesional? Menurut Ornstein dan Levine (1993), konsep profesional merujuk kepada ciri – ciri yang terdapat dalam kalangan ahli suatu profesion. Antara ciri – ciri yang telah dinyatakan adalah cekap dan mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang yang diceburi dan adanya kod etika yang mengawal tingkah laku ahli.
Guru juga adalah seorang yang profesional. Ini bermakna guru adalah seorang yang mendapat latihan yang khusus, berpengetahuan luas dan pakar dalam bidang yang diceburi serta ada kod etika yang tersendiri.
            Etika menurut kamus Dewan Bahasa & Pustaka dapat didefinisikan sebagai satu sistem dasar akhlak, adat dan tingkahlaku atau kesusilaan. Manakala merujuk kepada Kamus Oxford, etika didefinisikan sebagai prinsip moral atau set prinsip moral. Etika juga boleh dikatakan sebagai tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang terhadap masyarakat. Menurut dari perspektif Islam, merujuk kepada tingkahlaku yang betul berasaskan Al-Quran dan ketaqwaan kepada Allah S.W.T.
Maksud Etika
  1. Satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan (Dewan Bahasa & Pustaka, 1995)
  2. Prinsip moral atau set prinsip moral (Kamus Oxford, 1994).
  3. Tanggungjawab dan akibat tingkah laku seseorang atau profesion terhadap masyarakat.
  4. Dari persepktif Islam, etika merujuk kepada tingkah laku betul berasaskan Al-Quran dan ketakwaan kepada Allah.

            Perspektif yang dilihat dari kod etika profesional pula, membawa maksud semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan, dan peradaban termasuk peranan nilai,seta tingkah laku profesional dalam masarakat.  Etika profesional ini mencakupi sebahagian besar kehidupan mereka yang mengamalkan sesuatu profesion kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi. Dalam Islam pula, etika ialah akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertaqwa dalam keseluruhan hidupnya. 


Maksud Etika Profesional
            Semua garis panduan yang bertujuan meningkatkan tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai, serta tingkah laku profesion dalam masyarakat.

            Mengambilkira huraian diatas dapatlah kita rangkumkan bahawa etika merupakan satu sistem dasar tingkahlaku bagi sesuatu kumpulan manusia atau organisasi, Manakala kod etika ialah memperjelaskan tindakan-tindakan yang betul yang perlu dituruti dan tindakan-tindakan salah yang perlu dihindari. Badan profesional tertentu  mempunyai kod etik tertentu, termasulak profesion perguruan ini. Setiap profesion akan menetapkan nilai-nilai asas yang perlu ditaati oleh semua insan yang menjalankan pekerjaan tersebut yang dinyatakan sebagai Kod Etika. Oleh itu, etika profesional ialah nilai-nilai atau tingkahlaku murni yang harus dihayati oleh individu-individu mengikut profesional masing-masing.

2.0  ULASAN ISU GURU
            Guru adalah pendidik dan pembimbing kepada para pelajar yang akan menjadi warisan kebudayaan dan ilmu pengetahuan untuk kemajuan bangsa dan Negara pada masa hadapan. Sememangnya guru memainkan peranan penting dalam sistem pendidikan negara. Selain menyebar ilmu segala tingkah laku guru akan menjadi contoh teladan kepada pelajar selain mereka dapat membina masyarakat yang mempunyai budaya yang bertamadun tinggi. Seseorang guru yang baik seharusnya mempunyai sifat dan kualiti peribadi seperti baik hati, pandai berjenaka, sabar, bertanggungjawab, yakin pada diri dan mempunyai sifat kepimpinan (Mok Soon Sang, 1988).

            Guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai pendidik dengan baik. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk Mahadzir Mohd. Khir memberitahu bahawa daripada tahun 1995 hingga tahun 2008, sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru dilaporkan (Utusan Malaysia, 18 September 2008). Antara kes keruntuhan moral disebutkan beliau adalah perbuatan sumbang mahram dan bersekedudukan. Media juga turut melaporkan kes-kes lain seperti guru memukul murid, guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin, guru menyebarkan ajaran anti kerajaan dan sebagainya yang telah menarik perhatian
umum serta menguji kredibiliti profesion perguruan.

            Pendedahan-pendedahan salah laku guru-guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion keguruan tergugat pada mata umum. Hal ini bertentangan dengan peranan dan tatasusila perguruan di Malaysia yang menyatakan guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu menjalankan tanggungjawabnya guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat dan masyarakat dan Negara, bukannya mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku terhadap pelajar tetapi sebaliknya membantu mereka menyelesaikan masalah yang dihadapi. Begitu juga dengan guru yang menyebarkan ajaran anti kerajaan di mana bertentangan dengan tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan Negara yang sepatutnya tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar, masyarakat atau Negara (Utusan Malaysia, 18 September 2008).

            Oleh yang demikian, Etika Profesion Perguruan penting untuk menjadi panduan guru-guru dalam menjalankan tugas mendidik. Bakal-bakal guru harus mengetahui kod etika profesion perguruan serta mematuhinya demi menjamin martabat profesion perguruan dipandang mulia.

Prinsip-prinsip Etika Profesional
            Mengikut Lieberman (1956) prinsip-prinsip Etika Profesion Perguruan harus merangkumi prinsip tanggungjawab guru terhadap pelajar, perkongsian dengan ibu bapa, interaksi dengan masyarakat, mutual respect dengan majikannya dan hubungan sesama rakan sekerja.
            Dalam profesion perguruan, seorang guru bertanggungjawab membawa para pelajar ke arah pemerolehan ilmu dan seterusnya menyediakan mereka ke arah amalan demokrasi. Guru juga berperanan membantu mereka mencapai kebahagiaan hidup, menjadi orang yang berguna kepada masyarakat dan negara dan individu yang berdikari. Ini merupakan prinsip etika professional dalam hubungan antara guru dan murid.

            Dalam hubungan antara guru dan ibubapa pula, ahli-ahli profesion perguruan berkongsi tugas dengan ibu bapa membentuk perlakuan kanak-kanak ke arah matlamat akhir yang diterima masyarakat. Keberkesanan kaedah pengajaran bergantung kepada hubungan kerjasama antara sekolah dan rumah. Guru menggesa ibubapa sentiasa mengawasi aktiviti pelajar di rumah seperti membuat kerja rumah, manakala ibubapa pula mengharap guru agar dapat menjadikan anak-anak mereka manusia yang berjaya.

            Profesion perguruan melibatkan bukan sahaja tingkah laku guru secara peribadi tetapi juga merangkumi interaksi sekolah dengan masyarakat. Hubungan guru dengan masyarakat harus berlangsung dalam suasana mesra, bersifat kerjasama, dan sikap yang membina. Masyarakat sentiasa mengharapkan sekolah supaya melahirkan ahli masyarakat yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara. Guru-guru pula perlukan masyarakat di luar agar menyediakan peluang-peluang untuk anak-anak didik mereka apabila mereka tamat persekolahan seperti menyambung pelajaran atau bekerja.
            Ahli-ahli profesion perguruan tidak dapat lari daripada tanggungjawab berkaitan dengan kariernya. Tanggungjawab ini bersifat tanggungjawab di antara pekerja dengan majikan. Adalah amat molek jika hubungan ini bersifat mutual respect dan saling mempercayai agar tugas dapat dilaksanakan dengan ikhlas. Jika amalan ini berjaya dilaksanakan, pemantauan dan arahan daripada pihak atasan akan berlangsung dalam jumlah yang sangat minimum dan guru-guru akan merasai bahawa mereka merupakan individu yang sangat meyakinkan pihak atasan.

            Profesion perguruan ternyata berbeza daripada profesion-profesion kerjaya yang lain. Salah satunya kerana keunikan hubungan antara seorang guru dengan rakan sekerjanya. Ada keunikan hubungan dan kualiti professional antara sesama guru. Kerjasama antara guru dengan rakan sejawat mampu memecahkan halangan yang sebesar manapun, terutama bila ia melibatkan prubahan dalam kurikulum dan sistem pendidikan.

            Berhubung dengan isu masalah guru dalam petikan akhbar di atas, “
Guru Miang Melampau” dan “Guru Wanita Dipercayai Dirogol Rakan Sekerja” menunjukkan betapa guru tersebut sudah hilang nilai moralnya dan melanggar etika sebagai penjawat awam.
            Sebagai seorang guru yang merupakan satu profesion, kita sering lupa dengan kod dan etika sebagai seorang guru. Etika dan kod etika ini merupkan peraturan dan landasan yang perlu dituruti oleh seseorang yang bergelar profesional.

            Malangnya, kebanyakan guru hanya melihat profesion keguruan ini hanya kepada proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) sahaja dan tidak melihat pada aspek lain menyebabkan ketirisan dalam dunia pendidikan dewasa ini. Kita sebagai warga pendidik haruslah sedar masalah yang kita hadapi sekarang dan kembali membawa profesion ini kelandasan yang sebenar supaya tidak lari dari garis sempadan yang ditetapkan. 

Isu Gangguan Seksual
            Satu definisi gangguan seksual yang mudah ialah apa-apa perbuatan bersifat seksual yang tidak diingini dan memberikan kesan sebagai satu gangguan secara lisan, bukan lisan, visual, psikologi atau fizikal. Bagi mendapatkan definasi yang lebih tepat mengenai gangguan seksual di tempat kerja definisi United State Equal Employment Opportunity Commision (USEEOC) di Amerika Syarikat adalah lebih sesuai untuk dibincangkan. Ia menyebut:
“Unwelcome sexual advance, requests for sexual favors and otherverbal or physical conduct of a sexual nature when submission to or rejection of this conduct explicitly or implicitly affects an individuals employment unreasonably interferes with an individual’s work performance or creates an intimidating, hostile or offensive work environment.” USEEOC.

            Kita tidak harus terikat kepada pengertian itu sahaja, kerana, beberapa perkara lain harus diambil perhatian iaitu pengganggu boleh juga seorang perempuan, tidak semestinya lelaki sahaja. Seperkara lagi, pihak yang menjadi mangsa tidak semestinya subjek yang diganggu, tetapi pihak yang terasa terganggu dengan perbuatan pemangsa. Situasi gangguan seksual yang berlaku juga tidak semestinya memberi kesan kepada kedudukan mangsa dari segi kerja, kenaikan pangkat atau pendapatannya.

            Di sekolah, gangguan seksual boleh berlaku di antara pengetua – guru-guru (dan kakitangan) – pelajar. Biasanya, yang menjadi mangsa ialah golongan pelajar. Di Malaysia, masalah yang berlaku ialah mangsa gagal membuat laporan kerana takut, malu atau tidak tahu ia sebenarnya gangguan seksual. Undang-undang pula perlukan bukti kukuh untuk menerima pertuduhan.

            Satu langkah proaktif yang boleh dilakukan oleh bakal mangsa ialah mengelak daripada menjadi mangsa. EVAW (End Violence Against Women International) pula mencadangkan dalam laman web mereka (About EVAW International.htm) perkara-perkara berikut harus dilakukan oleh majikan.

a. Adakan satu polisi bertulis dan disebar dan di tampal di tempat kerja mengenai gangguan seksual
b. Polisi tersebut harus mengandungi definisi yang jelas dengan penerangan dan
contoh yang sesuai.
c. Polisi harus mengandungi galakan daripada pengurusan untuk mangsa
membuat aduan.
d. Pihak pengurusan harus mengadakan latihan berterusan tentang anti-gangguan
seksual kepada kakitangannya.
           
            Satu lagi langkah proaktif yang boleh diambil ialah menjadi ahli persatuan-persatuan tertentu yang menjaga hal ehwal pekerja daripada gangguan seksual. Di Amerika Syarikat telah wujud EVAW (End Violence Against Women) International yang antara lain bertujuan untuk membela mangsa-mangsa gangguan seksual.
          
            Di Malaysia juga kita mempunyai cawangan Women’s Aid Organisation (Persatuan Pertolongan Wanita). Ini termasuklah menyediakan pegawai-pegawai untuk membantu mangsa, mengambil tindakan yang sewajarnya yang akan memahamkan golongan pemangsa daripada melakukan gangguan seksual dan membawa pemangsa ke muka pengadilan. Persatuan sebegini harus di anggotai bukan sahaja oleh mereka yang pernah menjadi mangsa atau mangsa-mangsa baru tetapi juga mereka yang tergolong daripada bakal mangsa.



2.1 FAKTOR GANGGUAN SEKSUAL DI TEMPAT KERJA
            Gangguan seksual di tempat kerja merujuk kepada bentuk pertentangan kuasa yang dimiliki oleh individu yang mempunyai status. Contoh pihak yang mengganggu adalah ketua, rakan sekerja, penyelia dan juga pekerja. Kajian yang dijalankan oleh Kongres Kesatuan Kerja Malaysia (MTUC) mendapati golongan wanita adalah majoriti yang membentuk 95 peratus sebagai mangsa gangguan seksual. Kajian itu juga mendapti bahawa mangsa tidak mengira umur, taraf perkahwinan, rupa, fizikal, latar belakang dan taraf profesional.

            Selain itu penyalah gunaan media juga menjadi punca berlakunya masalah ini kerana media memainkan peranan sebagai penyebar segala meklumat yang positif dan negatif. Jika media memaparkan sesuatu program yang berunsurkan seks atau realiti-realiti televisyen daripada barat, ini akan mempengaruhi minda umat Islam yang dari asal didik dengan pemakaian cara Islam.

            Penularan hiburan disamping masalah pergaulan masyarakat yang tidak ada batasnya lagi ditambah pula dengan penyebaran unsur-unsur seks oleh media ini akan menjadi peniruan anak-anak muda yang bersifat sentiasa inigin mencuba sesuatu yang baru asalkan ia menjadi "enjoy" kepada mereka.

                Cambahan VCD lucah juga merupakan faktor terjadinya gejala-gejala jenayah ini menular dan menjangkiti profesion keguruan. Guru pelaku tersebut mengkin terpengaruh dengan faktor-faktor yang dinyatakan dan mengambil kesempatan ke atas individu yang terdekat dengannya terutama rakan sejawat.

 2.2 KESAN-KESAN GANGGUAN SEKSUAL
            Menurut American Pshycological Assosiation pada tahun 1996 melaporkan bahawa ramai mangsa megalami tekanan berat selepas menerima gangguan seksual. Ini termasuk kesan psikologi seperti rasa rendah diri dan sering menyalahkan diri sendiri. Merujuk kepada kes yang berlaku, guru yang menjadi mangsa berasa sangat tertekan dan hampir membunuh diri.

            Tekanan yang di alami oleh guru tersebut akan turut tempias kepada pengajarannya bahkan akan turut melibatkan anak-anak muridnya. Hal demikian mengapa saya kaitkan dengan pengajaran dan anak-anak muridnya kerana, apabila seseorang guru itu mangalami tekanan, prestasi produktiviti pengajarannya akan merosot, guru tersebut akan mengabaikan tugas, sering tidak hadir ke sekolah kerana takut di ganggu dan hilang daya tumpuan. Sekiranya guru sering tidak hadir ke sekolah dan prestasi produktiviti pengajaran yang merosot, kesan tersebut akan menjejaskan prestasi pencapaian akademik murid-murid.

            Manakala kesan ke atas pelaku yang turut bekerja sebagai guru juga bukan sahaja disabitkan kesalahan melangggar kod etika penjawat awam, malah boleh disabitkan kesalahan dalam kanun keseksaan Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 354 Kanun Keseksaan, Seksyen 355 Kanun Keseksaan jika melakukan gangguan seksual. Dan jika disabitkan kesalahan merogol, guru tersebut akan dikenakan hukuman mengikut seksyen 376 kanun keseksaan. 

          Isu guru telampau ini sememangnya menjejaskan reputasi profesion perguruan itu sendiri. Seorang guru yang tugas asalnya mendidik dan menunjukkan teladan yang baik bukan sahaja kepada murid-murid, malah masyarakat, melakukan kerja terkutuk yang memberi impak yang negatif dan memalukan instituisi pendidikan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.