MOTIVASI
GURU PENYUMBANG KEMENJADIAN PELAJAR
Oleh
Ammar bin Othman
ABSTRAK
Perkataan ‘motivasi’ diambil daripada perkataan Latin ‘movere’ yang membawa maksud ‘to move’
atau untuk bergerak. Manakala menurut Kamus Dewan (1994), istilah motivasi ini didefinisikan sebagai
sesuatu yang membuat dan mendorong seseorang berusaha untuk melakukan sesuatu
dengan penuh minat. Ramlah (2004) pula
mentakrifkan motivasi sebagai sesuatu kuasa yang menggerakkan seseorang
melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat atau kejayaan. Selain itu, motivasi juga dilihat sebagai
satu rancangan untuk mengelakkan daripada kegagalan. Apabila seseorang individu
itu dikatakan sebagai seorang yang bermotivasi, maka ia bererti bahawa ia telah
memperoleh kekuatan untuk mencapai kecemerlangan hidup (dunia dan akhirat).
Ainon (2004), menyatakan pakar-pakar psikologi mengkaji
motivasi daripada tiga persoalan iaitu dari sudut keamatan, arah perbuatan dan
ketekunan. Menurut beliau darjah
keamatan atau intensiti motivasi seseorang dirujuk sebagai darjah kesanggupan
seseorang menggunakan tenaganya untuk melakukan sesuatu perbuatan. Arkes Gaske (1982) dan Mitchell (1982)
menyatakan konsep motivasi adalah sesuatu kuasa yang membangun, menentukan arah
dan tahap kerelaan tingkah laku sesseorang individu untuk mencapai sesuatu matlamat.
Schunk (1990) dan Greenberg (1999) pula berpendapat bahawa konsep
motivasi ialah satu proses dalaman yang membangkit, menumpu dan mengekalkan tingkah laku
seseorang individu.
PENGENALAN
Terminologi motivasi bukanlah acapkali dikaitkan dengan
bidang kemanusiaan. Menurut (Ainon, 2004),
motivasi dilihat sebagai kuasa dorongan yang datang daripada dalam diri
seseorang dan juga dorongan yang dipergunakan ke atas individu-individu lain
supaya meningkatkan daya usahanya. Tambahan itu, motivasi juga mempunyai
hubungan dengan segala tingkah laku atau tindakan yang baik yang mana ianya
mampu mempengaruhi perlakuan atau prestasi kerja seseorang.
Motivasi seseorang guru sering dikaitkan dengan sikap
guru terhadap kerjayanya. Ia juga dilihat sebagai kesungguhan ataupun keinginan
guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam lingkungan persekitaran
sekolah. Disamping penglibatan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran,
motivasi yang biasanya dikaitkan dengan guru turut merangkumi kepekaan guru
dalam mengawal disiplin pelajar di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik
darjah. Lantas, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa motivasi guru memberi
kesan yang mendalam terhadap aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dijalankan
dalam sesebuah sekolah. Malahan, guru juga dilihat sebagai agen motivasi yang
utama dalam menggerakkan para pelajar untuk memajukan diri mereka.
Profesion perguruan adalah berpaksikan kepada falsafah
dan objektif pendidikan negara dimana guru merupakan individu yang
bertanggungjawab untuk menterjemahkan segala perkataan yang telah termaktub di
dalam falsafah dan objektif pendidikan tersebut melalui perkongsian ilmu
pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar. Proses pengajaran dan
pembelajaran yang efektif sangat bergantung kepada motivasi seseorang guru
tersebut. Manakala motivasi guru tesebut pula dipengaruhi oleh beberapa keadaan.
Salah satu daripadanya adalah suasana bilik darjah. Ofoegbu (2004) menyatakan
bahawa, jika suasana kelas di mana guru mengajar dalam keadaan selamat, sihat,
ceria dan mempunyai bahan sumber dan kemudahan pengajaran yang menyokong
proses pengajaran dan pembelajaran yang optima,
guru itu akan cenderung untuk terlibat sama dengan pengurusan dan pentadbiran
penambahbaikan keseluruhan sekolah. Tambahan beliau lagi motivasi guru
juga dipengaruhi oleh gaji, elaun,
kemudahan teknologi untuk pengurusan kelas dan penambahbaikan sekolah.
Terdapat dua jenis motivasi yang biasanya dibincangkan,
motivasi dalaman dan luaran. Justeru, seorang guru seharusnya mempunyai
motivasi dalaman dan luaran dalam menjalankan dan melaksanakan tugas mereka.
Guru yang mempunyai keperluan motivasi
dalaman akan menjalankan tugas dengan ikhlas dan tulus hati tanpa mengharapkan
ganjaran. Malah, hanya kejayaan
anak-anak didiknya yang didambakan dan ianya sudah cukup untuk memberi kepuasan
hati dan kendirinya. Sebaliknya pula
bagi guru-guru yang mempunyai motivasi luaran di mana mereka melakukan tugas
untuk mendapat ganjaran. Tuntasnya, matlamat utama penambahbaikan mesti
menekankan kepada motivasi dalaman guru untuk mengajar dengan berkesan di
samping menyediakan beberapa kemudahan untuk memenuhi motivasi luarannya
(Glatthorn, 2006).
Menurut Pintrich (2002), tahap motivasi guru mempengaruhi motivasi pelajar-pelajarnya
untuk belajar. Tahap motivasi guru dalam melaksanakan pengajaran dan
pembelajaran dapat dikesan melalui perancangan pengajaran dan interaksi guru
dengan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Mengikut
beliau lagi guru yang bemotivasi tinggi akan sentiasa memotivasikan
pelajar-pelajarnya agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada pengajarannya.
Banyak kajian yang telah dijalankan mengenai cara guru meningkatkan motivasi
pelajar. Namun demikian, kajian-kajian yang terdahulu banyak mengaitkan dengan
kaedah ganjaran untuk memotivasikan pelajar. Mengikut Keller (1983), banyak
kajian lepas hanya berfokus kepada teori pengukuhan operan yang melibatkan
ganjaran dalam bentuk gred, keistimewaan,
pujian, hadiah dan pelekat.
Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Stipek (1996)
menyatakan yang sebaliknya di mana beliau mendapati semua perkara yang dilakukan
oleh guru di kelas sebenarnya mempunyai impak
kepada motivasi pelajar. Beliau mengulas dengan lebih lanjut bahawa
ianya bukan sahaja yang berkaitan dengan tindakan motivasi yang biasa seperti
menentukan matlamat dan memberi ganjaran kepada pencapaian yang baik sahaja
tetapi meliputi semua aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran. Sebagai contoh, seperti membentuk kumpulan
pelajar, teknik menyoal dan bagaimana
usaha guru menguruskan kelas serta bagaimana mereka menangani disiplin kelas.
PERBINCANGAN
Kajian tentang motivasi guru dan kaitannya dengan
motivasi para pelajar dilihat sebagai satu topik yang kurang diminati dan
kurang menarik minat para pengkaji di Malaysia namun ianya agak popular di luar
negara. Sebagai contoh ialah kajian yang
dilakukan oleh Goodlad (1984) dan Goodlad & Klein (1970). Hasil dapatan
kajian mereka menunjukkan guru-guru yang rendah motivasinya kerap menggunakan
kaedah syarahan yang membosankan dan menjejaskan pencapaian akademik
pelajar-pelajarnya. Namun demikian, kita masih tidak mendapat gambaran yang
jelas mengenai permasalahan ini di Malaysia tetapi, saya yakin bahawa kita
mampu mengupas isu ini dengan lebih lanjut dengan berpaksikan kepada rekod
pencapaian calon-calon peperiksaan penting seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah
(UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia (SPM).
Guru merupakan salah seorang individu yang memainkan
peranan paling penting dalam perkembangan pendidikan seseorang pelajar. Guru
juga merupakan orang dewasa pertama ‘yang bukan saudara’ yang berhubung
terus dengan kanak-kanak (Smith, 1979). Tambahan beliau lagi, melalui guru
kanak-kanak didedahkan dengan nilai dan budaya sesuatu masyarakat. Peranan guru di Malaysia bukan sebagai
pendidik yang menyampaikan maklumat berkaitan dengan mata pelajaran yang
diajarnya sahaja tetapi juga sebagai pembentuk tingkah laku, sahsiah, sikap dan nilai pelajar-pelajarnya
(Ramlah, 2004). Hal ini adalah bertetapan dengan garis panduan yang telah
digazetkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana matlamat utama
pendidikan di Malaysia adalah untuk melahirkan insan kamil yang serba
boleh, baik budi pekertinya, berilmu dan
bertanggung jawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negaranya.
Seperti yang dinyatakan, tugas utama guru bukan sahaja
setakat mengajar para pelajar tetapi juga perlu mendorong pelajar untuk
belajar. Oleh itu, untuk menyiapkan diri sebagai seorang pendorong pelajar yang terbaik, seseorang guru tersebut harus mengetahui
ilmu-ilmu yang berkaitan dengan motivasi dan perlu mempunyai motivasi yang
tinggi dalam melaksanakan tugasnya agar mampu menjadi contoh yang unggul kepada
para pelajarnya. Hal ini adalah penting kerana motivasi dalam pembelajaran
sangatlah penting terutama dalam mencapai matlamat pembelajaran. Slavin (1997) mengatakan bahawa .... “Students who are acdemically unmotivated to
learn do not learn”. Tambahan itu juga, guru merupakan golongan manusia yang memberi impak
besar kepada masyarakat dan negara. Sejajar dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan,
golongan pendidik mengambil peranan kedua selepas ibubapa dalam membentuk
sahsiah dan perwatakan pelajar (Khairina Yasin, 2001). Manakala aspek pengaruh pula, guru adalah
insan yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan personaliti, mental
dan fizikal setiap manusia (Noran dan Ahmad Mahdzan, 1992).
Setiap guru mengetahui mereka perlu mendorong murid-murid
mereka supaya rajin belajar dan menjadi individu-individu yang baik dan penuh
semangat (Abdullah Hassan, Ainon Mohd., 2004).
Mengikut beliau lagi, guru hanya dapat menjadi pendorong kepada
murid-muridnya apabila terdapat hubungan
yang sihat dan positif. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa
guru yang berkesan adalah guru yang mampu membina dan menjalin hubungan yang
baik dengan para pelajarnya secara sihat dan positif bukannya melalui ugutan
dan paksaan. Dill (1990) menyatakan bahawa jika pengajaran guru hanya
setakat menyampaikan maklumat dan tidak berusaha bersungguh-sungguh
untuk menarik respon pelajar terhadap apa yang disampaikannya maka pengajaran
guru menjadi kurang berkesan. Jadi, selain daripada melengkapkan diri dengan
dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi mengenai subjek yang diajar, seseorang
guru itu haruslah mempunyai motivasi yang tinggi dalam penyampaikan ilmunya.
Hal ini kerana motivasi guru turut mempengaruhi kualiti pengajaran guru itu.
Guru-guru
yang bermotivasi juga lebih berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam tindakan
dan lebih komited daripada guru-guru yang tidak bermotivasi. Menurut Ramlah
(2004) guru-guru yang bermotivasi akan membangkitkan dorongan atau motivasi
supaya pembelajaran menjadi lebih berkesan, bermakna dan menyeronokkan.
Tambahan itu juga, motivasi guru turut dipengaruhi oleh sikap dan minat
seseorang itu di dalam profesion tersebut. Pengalaman yang luas dalam bidang
pendidikan dan persekitaran serta prasarana yang disediakan oleh pihak sekolah
boleh meningkatkan motivasi guru. Sementara penyelidikan yang dilakukan oleh
Brown dan McIntyre (1993) mengenai pengajaran berkesan mendapati bahawa guru
yang bermotivasi tinggi dapat mencipta persekitaran bilik darjah yang
menyeronokkan dan tenang. Guru yang bermotivasi tinggi akan menjadikan mata
pelajaran yang diajarnya bertambah
menarik dan tidak membosankan serta mudah difahami dan guru tersebut mampu
mengawal diri dari dibelenggu perasaan marah. Sebaliknya suasana kelas
guru-guru yang bermotivasi rendah agak membosankan. Mereka tidak merancang pengajaran dan
pelajar-pelajarnya bersikap pasif dan tidak bermotivasi (Glatthorn dan Fox,
1996).
Menurut Ramlah (2004), usaha guru untuk mendorong pelajar
agar bermotivasi bukanlah satu tugas yang mudah. Tileston (2004) pula
menyatakan tahap motivasi pelajar adalah penting kerana ia mempengaruhi proses
pembelajaran dalam kelas. Menurut beliau lagi, motivasi merupakan sebahagian
daripada bakat dalam sistem kendiri dan sistem metakognitif dalam otak manusia
yang mempengaruhi keupayaan pelajar
untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran, memulakan sesuatu tugasan dan
menyiapkannya. Beliau mengulas, guru boleh menjana motivasi pelajar melalui
kaedah ganjaran intrinsik dan ektrinsik.
Tambah beliau lagi, pelajar yang
mempunyai motivasi intrinsik akan berusaha kuat dan belajar bersungguh-sungguh
untuk kepuasan dirinya. Sebaliknya
pelajar yang mempunyai motivasi ektrinsik akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapat ganjaran luaran.
Seseorang guru sebenarnya tidak dapat memotivasikan para
pelajar kerana mereka sendiri yang bertanggungjawab untuk mencari motivasi
(Tileston, 2004). Oleh yang demikian, apa yang boleh dilakukan oleh seseorang
guru tersebut ialah dengan mengambil pendekatan untuk mengajar para pelajarnya
teknik atau pun kemahiran yang dapat membimbing mereka melakukan sesuatu
tugasan yang diberikan oleh guru. Manakala menurut cendekiawan Marzano (1992),
guru boleh membina motivasi intrinsik pelajar dengan cara memberi motivasi
ekstrinsik terlebih dahulu. Sebagai gambaran, guru boleh memulakan
pengajarannya dengan memberi ganjaran ektrinsik bagi menarik minat pelajar.
Kemudian, apabila pembelajaran menjadi lebih menarik, sudah tentu rasa ingin
tahu dalam diri pelajar meningkat. Namun demikian, Jensen (1997) berpendapat
bahawa . Bagi pelajar berisiko atau pelajar berpencapaian rendah pula pergantungannya kepada kaedah ganjaran dalam
meningkatkan motivasinya akan berterusan sepanjang hayat dan mereka tidak akan
berupaya sepenuhnya menggunakan motivasi
intrinsik semula jadi yang dikawal oleh kendiri dan sistem metakognitifnya
Tugas seorang guru bukan setakat untuk meningkatkan
motivasi pelajar tetapi juga mengenalpasti, menggalak dan memandu motivasi
pelajar untuk belajar dan menarik perhatian mereka dalam aktiviti ke arah
pembelajaran (Slavin, 1997). Pendapat ini turut disokong oleh Gage dan Berliner
(1984) di mana mereka berpendapat bahawa motivasi pelajar berubah mengikut
darjah keamatan dan arah. Darjah keamatan motivasi pelajar untuk terlibat dalam
sesuatu aktiviti pengajaran bergantung kepada arah motivasi pelajar untuk
tertarik kepada aktiviti alternatif yang terdapat dalam pengajaran guru. Disamping
itu, motivasi bukan sahaja penting bagi menarik minat pelajar dalam aktiviti pembelajaran tetapi
yang lebih penting lagi ialah untuk menentukan sejauh mana pencapaian pelajar dalam
aktiviti yang disertai atau berapa banyak maklumat yang telah didedahkan
kepada mereka (Fenstermacher dan Soltis, 1998).
Sebelum
seorang guru yang menyandar jawatan sebagai pendidik yang profesional, beliau
haruslah mengikuti kursus perguruan terlebih dahulu. Selain itu, ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang wajib dipelajari seperti kaedah mengajar yang
tepat, kemahiran mengurus bilik darjah
dan sebagai seorang pembimbing yang bermotivasi tinggi amatlah penting sekali
untuk dipelajari. Latihan-latihan yang telah diterima semasa melanjutkan
pelajaran di Institut Pendidikan Guru (dahulunya dikenali sebagai Maktab
Perguruan) atau di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memainkan peranan
yang penting dalam menggarap motivasi seseorang guru tersebut. Malah, para guru
juga dikehendaki mengikuti dan menghadirikan diri ke kursus-kursus pendek
anjuran sekolah mahupun yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD).
Namun begitu, acapkali kita lihat bahawa motivasi yang dahulunya dilihat berada
dipuncak kini kian merudum apabila para guru menjalankan tugasan mereka di sekolah.
Banyak faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini dan antaranya ialah
prasarana di sekolah yang tidak lengkap atau usang yang tidak dapat menyokong
pengajaran berkualiti dan sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan mereka.
Tambahan itu lagi, keadaan bilik darjah yang panas dan
sempit dan alat bantu mengajar tiga dimensi yang kurang merupakan contoh
persekitaran yang melemahkan motivasi pengajaran guru. Lebih memburukkan
keadaan, tingkah laku para pelajar masa kini yang sangat dimanjakan oleh ibu
bapa dan para pelajar yang tidak berdisiplin dan pemalas menyumbang kepada
penurunan motivasi seseorang guru dan mejadikan proses pengajaran dan
pembelajaran semakin sukar serta mencabar. Selain itu guru juga dibebankan
dengan tugas bukan mengajar seperti kerja-kerja pengkeranian, mengecat sekolah,
menjaga kesihatan pelajar, membekalkan
maklumat kepada Pejabat Pelajaran Daerah dan Negeri menyebabkan guru kekurangan
masa untuk membuat persediaan rapi sebelum masuk ke kelas (Yong, 2006). Oleh yang demikian, apabila para guru
dibebankan dengan bebanan tugas yang bercambah, maka mereka akan menjadi kurang
bersedia untuk mengajar dan akhirnya fokus untuk mengajar terus lenyap.
Kesannya, proses pengajaran dan pembelajaran tidak berkesan dan menyumbang
kepada kemerosotan pencapaian para pelajar.
Selain itu, sikap para guru terhadap profesion perguruan
itu sendiri turut menyumbang kepada prestasi kerja dan motivasi yang
ditunjukkan oleh mereka. Antaranya, bidang perguruan ini mempunyai cuti yang
agak panjang dan pendapatannya juga terjamin menarik minat orang ramai untuk
memohon menjadi guru. Oleh itu, tujuan mereka untuk menjadi guru bukan lagi
atas niat yang ikhlas dan bermakna kerana mereka menceburi bidang ini
semata-mata untuk mendapat jaminan pekerjaan dan pendapatan sahaja. Lebih
menyedihkan, ada segelintir di kalangan mereka ini yang hanya ke kelas untuk
menyampaikan pengajaran mereka dan menghabiskan sukatan pelajaran. Mereka
langsung tidak endah sama ada proses pengajaran dan pembelajaran yang
dijalankan itu berkesan atau tidak. Lebih teruk lagi sekiranya mereka ini
diberikan mandat untuk mengajar kelas yang lemah. Sudah semestinya mereka tidak
berusaha gigih untuk memotivasikan para pelajar dalam kelas tersebut kerana
mereka sendiri tidak bersemangat untuk mengajar. Akhirnya, mereka gagal menjalankan
tugas mereka dan para pelajar tidak dapat mencapai pencapaian yang cemerlang.
Kajian yang dijalankan oleh Glatthorn (1996) di Amerika
Syarikat mendapati bawaha sesetengah guru turut menceburkan diri dalam
melakukan kerja sambilan seperti mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjual
insurans dan juga menjadi agen syarikat jualan langsung bagi mencari pendapatan
lebih turut menyumbang kepada kemerosotan motivasi seseorang guru tersebut.
Tambahan beliau lagi, keadaan ini juga turut menyumbang kepada perlakuan pasif
yang ditunjukkan oleh para pelajar hasil daripada sikap yang negatif yang
ditonjolkan oleh guru yang tidak bermotivasi ini. Hasil dapatan kajian yang
dilakukan ini dilihat turut mempunyai persamaan dengan kajian yang telah
dijalankan oleh Azman (1999) di mana beliau mendapati bahawa motivasi rendah
guru-guru yang mengajar di enam buah sekolah menengah berprestasi rendah di
Kluang Johor mempengaruhi keputusan yang rendah pelajar-pelajarnya di peringkat
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Sebagai tuntasnya, tahap motivasi guru yang rendah boleh
mempengaruhi tahap motivasi para pelajar untuk menelaah ilmu. Para pelajar
sering kali dilihat menjadi hilang minat dan gagal memberikan tumpuan yang
sepenuhnya sekiranya pengajaran yang diajarkan oleh guru tersebut membosankan
dan pasif. Hal ini seterusnya mampu menyumbang kepada pembantutan perkembangan
kognitif para pelajar itu sendiri dan fenomena ini sudah semestinya akan
menimbulkan rasa kurang senang dan gelisah dalam diri semua pihak sama ada
pihak sekolah, ibu bapa malahan para pelajar itu sendiri.
RUMUSAN
Sebagai rumusan kepada topik yang dibincangkan di atas,
perkataan motivasi itu bolehlah ditakrifkan sebagai satu daya atau tenaga yang
boleh menyebabkan berlakunya proses membentuk tingkah laku atau pembentukan
peribadi yang boleh mendorong manusia untuk
bertindak ke arah mencapai matlamat tertentu. Oleh yang demikian,
berdasarkan konotasi motivasi ini, sesungguhnya tidak dapat disangkal lagi
betapa pentingnya motivasi itu dalam diri seorang insan yang bergelar pendidik
di mana tugas yang dipikul sebagai seorang pendidik itu amat besar sekali iaitu
bukan sahaja sebagai tenaga pengajar, malahan juga sebagai sebagai seorang
pendorong motivasi ke arah kejayaan para pelajarnya sendiri. Lebih daripada
itu, istilah keramat motivasi ini juga boleh dilihat sebagai satu kebolehan
semula jadi di mana seiring individu itu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan
gigih dalam memperkembangkan serta memajukan diri mereka ke arah yang positif.
Jadi, sudah menjadi satu tanggungjawab yang ulong bahawa tugas guru adalah untuk
merubah dan memupuk motivasi yang positif dalam diri setiap pelajar mereka.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.