Tuesday 4 September 2012

EDU3108- Masalah Guru Ponteng di Sekolah



MASALAH GURU PONTENG DI SEKOLAH
Oleh:
 Mohd Zahiruddin Bin Abd Halim

1.0           PENGENALAN

Profesion sebagai guru adalah profesion yang sungguh mencabar memandangkan tugasnya yang begitu banyak dan tanggungjawabnya yang begitu berat. Di Malaysia, persoalan mengenai tekanan kerja di kalangan guru - guru juga menjadi topik hangat yang sering diperkatakan. Basinun (1995) menyatakan antara masalah utama guru adalah masalah kenaikan gaji, peluang kenaikan pangkat dan beban kerja guru yang keterlaluan. Selain daripada tugas mendidik murid - murid, guru-guru perlu berdepan dengan karenah disiplin murid yang menambahkan lagi beban kerja guru. Muhamad (1995) memetik laporan Kongres Kesatuan Guru - Guru Malaysia menyatakan bahawa guru-guru menghadapi tekanan dengan kerja - kerja persediaan mengajar seperti menyediakan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Di dalam bilik darjah, guru juga menghadapi tekanan dengan karenah dan bilangan murid yang ramai. Faridah dan Zubaidah (1999) juga mengakui profesion guru amat mencabar kerana mereka bukan setakat mengajar, malah terpaksa menangani masalah pelajar nakal dan kerja-kerja perkeranian yang menuntut masa yang banyak untuk diselesaikan. Beberapa reformasi yang berlaku dalam pendidikan adalah seperti KBSR, KBSM dan KSSR dilihat seperti menambahkan lagi bebanan kerja guru yang sedia bertimbun.
Menurut Dunham (1992), terdapat lima faktor utama yang menyebabkan berlakunya tekanan kerja guru iaitu salah laku pelajar, beban tugas, keperluan penghargaan, kekangan masa dan tekanan kerja di kalangan guru sekolah dan hubungan interpersonal. Keadaan ini juga berlaku di Malaysia seperti mana yang dinyatakan oleh Faridah dan Zubaidah (1999) di mana guru berhadapan dengan masalah sosial, anak muda yang terbiar dan masalah disiplin yang menakutkan serta disusuli pula oleh tekanan kerja yang kuat. Di samping itu, faktor beban tugas juga banyak mempengaruhi proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Di dalam bilik darjah guru berhadapan dengan masalah salah laku pelajar yang mana faktor ini dipercayai antara faktor yang menyebabkan guru - guru di sekolah menengah menghadapi tekanan. Guru - guru terpaksa berhadapan dengan masalah pelajar-pelajar yang suka membuat bising, biadap atau kurang ajar dan kesukaran mengawal pelajar dalam kelas.
Sehubungan itu, kita perhatikan bahawa faktor penghargaan merupakan faktor yang boleh menyebabkan tekanan kerja kepada guru. Faktor penghargaan ini merujuk kepada penghargaan yang sepatutnya diberikan kepada guru-guru yang rajin, berdedikasi, dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Terdapat guru-guru yang benar-benar memberi komitmen yang tinggi dalam pengajaran dan pembelajaran, namun penghargaan yang sewajarnya masih belum diperolehi. Selain itu, terdapat guru-guru yang tidak berpeluang untuk kenaikan pangkat dan masih diiktiraf senioritinya untuk memegang sesuatu jawatan. Adakalanya pandangan, pendapat dan suara guru-guru terhadap kebaikan sekolah tidak dihargai atau kurang mendapat perhatian yang baik dari pihak pentadbiran sekolah. Ini juga boleh menimbulkan perasaan tersinggung dan kecewa sehingga menyebabkan guru - guru itu menjadi kurang proaktif lagi. Terdapat segelintir guru yang melihat gaji yang diterima tidak seimbang dengan tugasnya sedangkan mereka ini mengharapkan gaji yang seimbang dengan tugas-tugas yang ditanggungnya. Sepatutnya apabila guru - guru tersebut memegang sesuatu jawatan atau tugas yang berat, pihak pentadbir harus peka terhadap mereka yang dibebani kerja yang banyak.

        Profesion keguruan merupakan satu profesion yang memainkan peranan yang sangat penting dalam menjulang martabat pendidikan di negara kita Malaysia.Ini kerana golongan guru merupakan golongan utama yang diamanahkan untuk bertanggungjawab membantu negara dalam mencapai matlamat utama pendidikan di Negara kita iaitu untuk menampung keperluan tenaga kerja dan mencapai perpaduan Negara melalui perkembangan bersepadu individu yang menyeluruh dari segi jasmani,emosi,rohani,intelek,dan sosial selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

      Dalam menyempurnakan hasrat (FPK),para guru bukan sahaja dituntut untuk sekadar menyebarkan ilmu semata-mata bahkan mereka juga bertanggungjawab dalam pembentukan sahsiah dan tingkahlaku anak didik mereka.Untuk itu,dalam mencapai hasrat (FPK) ini,golongan guru seharusnya sedar bahawa tugas mereka bukanlah satu tugas yang mudah sebaliknya mereka memikul tanggungjawab yang sangat besar.Ini kerana tugas menyampaikan ilmu serta mendidik bukanlah satu tugas yang mudah kerana ia memerlukan satu perancangan jangkamasa panjang disamping perlu berhadapan dengan karenah anak-anak murid dan juga mesyarakat di sekeliling.
  
     Disamping itu,mereka juga perlu peka dengan perubahan semasa serta bijak menyesuaikannya dalam tugas terutamanya bagi menangani masalah pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya hal-hal yang berkaitan dengan disiplin pelajar yang sememangnya semakin menular pada masa kini.Secara umumnya,kita boleh mengatakan bahawa sememangnya para guru perlu mempunyai pengetahuan yang luas dan juga profesional dalam semua bidang.Menurut Robiah (1998),untuk menjadi seseorang guru yang profesional,seseorang guru itu perlu menekankan kepada tiga aspek penting yang perlu ada di dalam dirinya iaitu kepakaran,pengetahuan,dan juga pembentukan sahsiah.

     Ini menunjukkan bahawa dalam menjadi guru yang profesional,amat penting bagi seseorang guru dalam mempunyai sahsiah dan keperibadian yang mantap disamping mempunyai kepakaran dan pengetahuan yang luas dalam sesuatu bidang.Sebenarnya pihak kerajaan sudah lama mahu meningkatkan martabat bidang perguruan ini supaya menjadi satu bidang ataupun kerjaya yang profesional.Namun apa yang berlaku pada hari ini adalah sangat menyedihkan di mana ada sahaja kes-kes ataupun isu-isu yang berkaitan dengan salah laku guru yang sering kita dengar melalui dada televisyen mahupun akhbar-akhbar malah ianya semakin meningkat dari hari ke hari.

      Sebenarnya isu guru-guru yang melanggar etika perguruan ini bukanlah satu perkara yang baru dalam bidang pendidikan di negara kita ini malahan ianya sudah wujud sejak dari dahulu lagi.Walaupun sistem pendidikan pendidikan di Negara kita dilihat semakin maju dan berkembang,namun sedar atau sedar kita bahawa kes-kes atau isu-isu guru yang melanggar etika adalah didapati semakin meningkat.Situasi ini dapat dilihat apabila semakain hari semakin banyak berita-berita ataupun laporan yang tersiar di dada akhbar mahupun berita mengenai salah laku guru-guru dari seluruh pelosok Negara.Tidak kira siapa pun guru tersebut malahan guru yang memegang gelaran ustaz sekalipun tidak terlepas daripada terlibat daripada terlibat di dalam gejala pelanggaran etika dan tingkahlaku ini.Fenomena ini secara tidak langsung telah mencalar imej perofesion perguruan yang semakin tidak disenangi oleh ramai pihak ini.


       2.0            ULASAN ISU ( GURU PONTENG )

       Guru adalah insan biasa yang mempunyai peribadi dan kehidupan sosialnya yang tersendiri sama seperti manusia-manusia lain. Justeru, guru tidak terlepas dari melakukan kesilapan ataupun kesalahan.  Antara isu salah laku guru yang sering diperkatakan masa kini ialah isu guru ponteng kerja yang sering kita dengar berlaku di mana-mana sekolah tidak kira sekolah menengah mahupun sekolah rendah.Menurut kamus Dewan edisi ketiga (2002),ponteng dari segi bahasa boleh didefinisikan sebagai kecoh,tipu,lari daripada tugas yakni tanggungjawab dan lain-lain.Manakala dari segi istilah ponteng membawa maksud tidak hadir bertugas tanpa sebab ataupun dengan sebab yang tidak munasabah.

    Menurut Cascio (2005),ketidakhadiran bermaksud apa-apa sahaja kegagalan seseorang pekerja daripada melaporkan diri ataupun tidak berada di tempat kerja mengikut masa yang telah ditetapkan atas apa alasan sekalipun.Ini menunjukkan apabila seseorang itu tidak dapat hadir ke pejabat pada waktu bekerja maka mereka dianggap sebagai tidak hadir.Sekiranya seseorang pekerja tidak hadir tanpa sebarang sebab yang munasabah, maka ianya boleh dianggap sebagai ponteng kerja.

     Berdasarkan kepada keratan akhbar Utusan Malaysia yang bertarikh 20 Mei 2008 yang bertajuk “Guru Ponteng : Tindakan Tegas Akan Diambil”,isu yang dapat dikenalpasti adalah isu guru yang ponteng kerja di mana pihak kementerian telah mengambil keputusan untuk mengambil tindakan tegas terhadap seorang guru yang mengajar di sebuah Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil (SJKT)di Perak jika siasatan membuktikan bahawa guru itu ‘ponteng’ mengajar dengan sengaja.Ini bermaksud jika guru tersebut gagal mengemukan sebarang alasan yang munasabah mengenai ketidakhadirannya ke sekolah,maka guru tersebut akan dipecat daripada jawatannya sebagai seorang guru secara rasmi.

      Kenyataan tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Kementerian Pelajaran Malaysia,iaitu Datuk Dr. Wee Ka Siong.Menurut beliau,sebelum mengambil apa-apa tindakan,pihak kementerian akan menjalankan siasatan terlebih dahulu untuk membuktikan  dakwaan bahawa guru tersebut ponteng kerja adalah benar.Ketika ditemubual wartawan pada ketika itu,beliau mengakui bahawa sedang menunggu laporan penuh daripada jawatankuasa yang diarahkan bagi membuat siasatan.

    Dakwaan yang dikenakan ke atas guru tersebut adalah berdasarkan rungutan-rungutan yang dikeluarkan oleh pihak ibu bapa melalui sebuah stesen televisyen yang mendakwa guru tersebut kerap kali tidak hadir ke sekolah.Guru tersebut juga didapati tidak hadir ke sekolah selama 30 hari dan dia hanya memaklumkan perkara tersebut kepada pihak sekolah melalui khidmat pesanan ringkas(SMS).Menurut Datuk Dr. Wee Ka Siong lagi, kementerian mengambil serius kes tersebut walaupun ia merupakan kes terpencil dan jarang berlaku.Beliau juga menjelaskan tindakan tegas perlu dilakukan kerana tidak mahu menjejaskan kerjaya perguruan.

     Menurut perkara yang dibincangkan dalam artikel ini,ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa isu guru ponteng ini merupakan satu isu yang serius tidak wajar dipandang enteng oleh guru-guru walaupun ianya merupakan satu isu yang dilihat tidak meluas dan terpencil.Ini kerana pihak kementerian sememangnya memandang serius mengenai isu ini kerana ianya boleh membawa kesan yang buruk terhadap pendidikan di Negara ini khusunya terhadap anak-anak didik.Ini bertepatan dengan kenyataan Datuk Dr. Wee Ka Siong di dalam artikel ini di mana beliau menyatakan bahawa pihak kementerian memandang serius kes tersebut walaupun ia merupakan kes yang terpencil.

        Kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Dr. Wee Ka Siong juga dilihat sangat   bertepatan dengan satu lagi kenyataan yang telah dibuat oleh Datuk Muhiddin Yusin,Pengarah Pelajaran Negeri Sabah seperti yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Borneo yang bertarikh 24 Disember 2011 yang bertajuk “Guru Ponteng Isu Serius”. Datuk Muhiddin Yusin dalam kenyataannya berkata “ Pihak Kementerian dan Jabatan Pelajaran Negeri Sabah berasa kesal dan memandang serius tentang ketidakhadiran guru di Sekolah”.Kenyataan tersebut di buatkan berdasarkan kepada hasil pemantauan dan pemeriksaan pihak Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK)pada 25 Mei 2010 yang menunjukkan seramai 157 guru dari 14 buah sekolah yang didapati tidak hadir bertugas di sekolah.Selain itu,dalam artikel yang sama Datuk Muhiddin juga menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil,namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani  dengan sewajarnya.

    Kenyataan yang dikeluarkan oleh dua orang menteri yang terdapat di dalam artikel-artikel ini secara langsungnya mempertengahkan mengenai isu ponteng yang dilihat semakin menular serta berleluasa di dalam kalangan guru – guru di negara ini.Semakin hari semakin banyak faktor penyebab yang dilihat menjadi punca kepada gejala ini.Gejala ponteng dikalangan guru ini juga dilihat secara tidak langsungnya telah mencemarkan nama profesion guru itu sendiri di samping telah melanggar etika kerja profesion perguruan yang telah digubal.Justeru itu,sebagai bakal guru,wajarlah isu guru ponteng ini dipertimbangkan serta dibincangkan dengan serius dan mendalam kerana ianya mencerminkan profesion perguruan yang selama ini dipandang mulia oleh masyarakat.

2.1       Faktor Penyebab
 
       Peningkatan kes ponteng kerja melibatkan guru di negara ini sememangnya berlaku    disebabkan oleh beberapa faktor atau sebab-sebab yang tertentu sama ada melalui sikap guru itu sendiri ataupun melalui keadaan yang berlaku di sekeliling mereka.Dalam mengkaji isu ponteng ini,beberapa faktor telah dikenalpasti yang memungkinkan guru-guru akhirnya mengambil jalan mudah untuk ponteng kerja.
          Antara faktor-faktor yang telah dikenalpasti membawa kepada gejala ini ialah faktor tekanan di tempat kerja yang berlaku ke atas golongan guru ini.Semua sudah sedia maklum mengenai betapa besarnya cabaran seorang guru pada masa kini.Mereka terpaksa menghadapi pelbagai karenah pelajar semasa berada di sekolah di samping terbeban dengan tugas-tugas tambahan yang semakin bertambah dan tidak masuk akal .Ada juga guru-guru yang tebeban dengan karenah pihak pentadbiran terutamanya guru besar yang tidak mengambil peduli mengenai kebajikan guru-guru.
           Disebabkan menghadapi pelbagai tekanan yang hebat semasa berada di sekolah,Akhirnya kebanyakan guru mengambil jalan mudah iaitu dengan tidak hadir ke sekolah.Situasi yang berlaku adalah seiring dengan kenyataan Randolfi (1996) yang menyatakan salah satu kesan tekanan yang terlalu tinggi dalam kalangan pekerja boleh mengakibatkan pelbagai kesan seperti psikologi,fizikal,tingkahlaku dan organisasi di mana salah satu daripada kesan organisasi ialah ianya membawa kepada ketidakhadiran pekerja.
     Menurut Fletcher (1988), tekanan di tempat kerja bukanlah suatu fenomena yang terpencil, sebaliknya ianya merupakan sesuatu yang biasa berlaku. Kenyataan ini membuktikan bahawa guru juga menerima tekanan di sekolah di mana ianya bukanlah satu perkara yang luar biasa. Sesiapa sahaja yang sedang berada dalam keadaan tertekan sanggup melakukan apa sahaja untuk memastikan mereka dapat keluar dari keadaan tersebut. Bagi guru yang sedang tertekan, tidak mustahil mereka akan terfikir untuk ponteng kerja.

          Selain daripada tekanan tempat kerja,faktor lain yang membawa kepada gejala ponteng kerja ini adalah disebabkan oleh tuntutan dan masalah peribadi.Ini berikutan terdapat kes di mana guru sanggup ponteng sekolah untuk kembali ke kampung halaman terlebih awal.Perkara ini kebanyakannya berlaku di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak disebabkan kesukaran untuk mendapatkan tiket pulang ke semenanjung.Oleh sebab itu,para guru sanggup mencipta pelbagai alasan termasuklah memalsukan sijil cuti sakit dengan tujuan untuk mendapat kebenaran daripada Guru Besar.
          Hal ini telah disahkan melalui kenyataan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sabah,Datuk Muhiddin bin Yusin dalam laporan akhbar Berita Harian bertarikh 2 Jun 2010 yang bertajuk “Guru Ponteng Sebelum Cuti Dikenalpasti”.Datuk Muhiddin dalam kenyataannya berkata perkara itu dikenalpasti hasil lawatan jemaah nazir sekolah dari Kementerian Pelajaran ke sekolah-sekolah baru-baru ini.Beliau juga menambah dalam dalam kenyataannya, “Jabatan kami sedang menunggu laporan rasmi bertulis daripada jemaah nazir itu sebelum mengambil tindakan yang perlu sebab guru-guru tidak dibenarkan meninggalkan sekolah mereka sebelum cuti penggal bermula”.

         Faktor lain yang membawa kepada gejala ini ialah faktor pengaruh rakan sebaya ataupun rakan sejawat semasa bekerja di sekolah.Perkara ini banyak berlaku kepada guru-guru baru yang dilihat terpengaruh dengan sifat rakan guru yang malas,membuat kerja sambil lewa dan juga ponteng kerja.Besar kemungkinan ponteng sudah menjadi kebiasaan bagi guru-guru yang berada di sekelilingnya dan ini menjadikan guru tersebut terikut-ikut dan terbawa-bawa dengan sahsiah negatif guru lain lebih-lebih lagi jika pihak pentadbir sekolah tersebut tidak menangani isu ponteng ini dengan lebih serius.

         Selain itu,faktor disiplin pelajar juga boleh diambil kira sebagai salah satu sebab mengapa seseorang guru hilang semangat untuk hadir ke sekolah.Ini berikutan guru-guru terpaksa berhadapan dengan masalah disiplin pelajar yang dilihat sangat kritikal terutamanya di kalangan kelas-kelas yang diajar sendiri oleh mereka hampir setiap hari.Menurut Menurut Nogueira (dipetik dari Jesus & Conboy, 2001), kebiasaannya guru akan berfikir secara negatif apabila berhadapan dengan pelajar, contohnya “Aku bosan dengan kelakuan pelajar ini”. Pemikiran sebegini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh sikap para pelajar yang bermasalah seperti ponteng kelas, bergaduh, malas membuat kerja sekolah, membuat bising dan sebagainya. Apabila guru berhadapan dengan perkara yang sama setiap kali sesi pengajaran bermula, maka mereka akan berasa tertekan dengan keadaan tersebut. Dengan ini, guru kadangkala akan mengambil jalan mudah dalam menyelesaikan masalah disiplin pelajar seperti menengking pelajar dan tidak menghadirkan diri ke kelas terbabit.

           
            2.2       Implikasi Isu Guru Ponteng Kepada Bidang Keguruan   


      Sememangnya isu gejala ponteng dalam kalangan guru ini membawa implikasinya yang tersendiri kepada bidang keguruan ini.Implikasi yang utama adalah yang terjadi kepada diri guru itu sendiri.Ini kerana apabila memegang tugas sebagai penjawat awam,etika kerja haruslah dipenuhi.Namun apabila guru sudah hilang minat untuk mengajar dan selalu ponteng kerja,maka perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan prestasi kerjanya semakin merosot.Atas sebab inilah munculnya istilah ‘burn out’ untuk guru-guru yang sudah kehilangan rasa minat terhadap profesion keguruan.

          Selain itu,gejala ponteng dalam kalangan guru juga boleh menyebabkan murid-murid akan tercicir di dalam pelajaran mereka.Ini berikutan pelajaran yang sepatutnya dikuasai oleh murid tidak dapat diaplikasikan terutamanya dalam menjawab soalan-soalan ujian dan peperiksaan.Perkara ini secara tidak langsung akan menyebabkan masalah pembelajaran dalam kalangan murid di sekolah.Perkara ini sememangnya boleh dikaitkan dengan kenyataan Finlayson (2003) yang menyatakan sekirannya seorang guru membuat masalah dan masalahnya tidak bertambah baik,maka ianya akan memberikan kesan yang negatif terhadap tahap pendidikan dan juga pengalaman para remaja.

            Apabila isu ponteng membawa kesan kepada murid,ia juga secara tidak langsungnya memberi impak kepada pihak sekolah.Ini kerana masalah murid dalam pelajaran akan menyebabkan kemerosotan yang ketara dalam peperiksaan.Situasi ini seterusnya akan menjejaskan prestasi sekolah di dalam bidang akademik.Kemerosotan peratus peperiksaan akan menyusahkan pihak sekolah yang terpaksa menjawab dengan pihak jabatan mengenai punca kemerosotan prestasi.Sekolah pastinya akan dikategoikan sebagai sekolah berprestasi rendah.Perkara ini sememangnya akan menjatuhkan imej sekolah dan juga pentadbiran seterusnya akan dibebankan dengan pelbagai program untuk memperbaiki serta memulihkan imej sekolah yang tercalar.

          Walaupun gejala ponteng hanya dilakukan oleh segelintir guru,tetapi seperti kata pepatah “kerana nila setitik,rosak susu sebelanga”.Kesan daripada tidakan segelintir guru tadi akan merosakkan serta mencemarkan imej profesion keguruan.Ini bertepatan dengan kenyataan Datuk Muhiddin Yusin dalam mengulas mengenai isu guru ponteng yang berlaku di Sabah.Datuk Muhiddin dalam kenyataannya menegaskan walaupun kejadian itu mungkin terpencil, namun hal berkenaan tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mampu melumpuhkan sistem pendidikan negara jika tidak ditangani sewajarnya.

      Kenyataan Datuk Muhiddin ini menunjukkan betapa isu salahlaku guru boleh merosakkan serta mencalar imej profesion keguruan.Tambahan pula masyarakat pada hari ini lebih cenderung untuk melihat serta menilai sesuatu perkara yang negatif berbanding perkara yang positif apatah lagi kalau ianya melibatkan profesion keguruan.Isu salah laku ini akan menyebabkan masyarakat terutamanya pihak ibu bapa akan memandang sinis profesion perguruan serta menjadi tidak yakin dengan kebolehan guru-guru dalam mendidik anak-anak mereka.


            2.3       Cadangan Langkah-Langkah Penyelesaian Isu Guru Ponteng
    
      Dalam usaha bagi menyelesaikan masalah atau gejala ponteng dalam kalangan guru ini,dilihat usaha ini tidak hanya tertumpu kepada satu pihak sahaja malah ianya memerlukan peranan besar dari semua pihak.Pihak-pihak yang dilihat dapat membantu bagi mengatasi masalah ini termasuklah pihak kerajaan,pihak pentadbir,dan juga pihak guru itu sendiri.

       Dalam konteks pihak kerajaan,ia bukanlah hanya tertumpu kepada kerajaan pusat malah ianya memerlukan kerjasama yang jitu daripada Jabatan Pelajaran Negeri.Jabatan Pelajaran Negeri hendaklah sentiasa mempertingkatkan serta menambahbaik sistem pemantauan terhadap sekolah-sekolah melalui Jabatan Pelajaran Daerah terutamanya sekolah-sekolah di kawasan pedalaman.Pemantauan hendaklah dilakukan dengan cermat dan seksama dan bukannya dilakukan secara sambil lewa ataupun secara pandang sebelah mata sahaja.

            Perkara ini dilihat bertepatan dengan rancangan yang diutarakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Sabah,Datuk Muhiddin Yusin dalam kenyataan di dalam akhbar Utusan Borneo yang bertarikh 24 Disember 2011 di mana Datuk Muhiddin di dalam kenyataannya memperkenalkan program AKUN yang bertujuan meningkatkan peratusan kehadiran guru di sekolah disamping dapat memantapkan lagi keberkesanan penyampaian serta penyebaran maklumat pekeliling dan peraturan di semua peringkat, menerusi empat strategi pelaksanaan iaitu e-Cerap, Pemantauan Silang, Pemantauan Bersepadu dan e-Hadir

           Beliau juga dalam kenyataannya berkata “Program AKUN ini juga tentunya memberi ruang dan peluang kepada pentadbir di sekolah dan PPD memberi khidmat serta bimbingan dengan lebih terus, bersepadu dan komprehensif,” dan mengharapkan kepada semua warga pendidikan supaya membuat penilaian kendiri bagi meningkatkan kopetensi dalam pengajaran di dalam kelas kerana setiap orang akan dipantau dan diselia dengan sewajarnya.

             Seterusnya bagi pihak sekolah pula,pihak pentadbir hendaklah merancang satu langkah atau apa-apa bentuk program bertujuan untuk meningkatkan lagi motivasi para-para guru.Tidak hanya tertakluk kepada aktiviti atau program,pihak sekolah juga boleh duduk berbincang untuk mengkaji kembali sistem pentadbiran dengan tujuan untuk lebih mengutamakan kepada kebajikan guru-guru. Bagi memastikan motivasi para guru ini dapat dipertingkatkan semula, Menurut Jesus dan Conboy (2001), mengatakan bahawa program motivasi yang tersusun mampu untuk membantu para guru menjalankan tugas mereka dengan penuh keyakinan dan kepuasan. Ianya bermaksud, program-program motivasi ini mampu untuk membina semula semangat para guru yang hilang disebabkan kemelut tekanan. Jesus dan Conboy (2000) juga mengatakan, program pendidikan guru telah menunjukkan keberkesanan di dalammeningkatkan kembali motivasi para guru. Hal ini telah membuktikan bahawa program motivasi yang baik mampu memberi kesan yang positif kepada guru di dalam meneruskan kerjaya mereka dalam bidang pendidikan.

             Selain itu,dari pihak pentadbir sendiri terutamanya Guru Besar atau Pengetua di mana mereka juga perlu untuk melakukan pemantauan dalaman dengan lebih kerap terhadap guru-guru yang berkhidmat di bawah mereka.Ini adalah untuk mengelakkan prestasi kerja guru semakin menurun.Jika pemantauan lebih kerap dilakukan,pentadbir akan dapat mengetahui jika terdapat guru yang bermasalah dari segi kehadiran ke sekolah.Jika tiada sebarang pemantauan dilakukan oleh pihak pentadbir,sudah tentunya aka nada segelintir guru yang mengambil kesempatan daripada keadaan tersebut.Lebih baik pihak sekolah bertindak lebih awal sebelum pihak JPN sendiri yang membuat tindakan kerana ia sudah tentunya akan membawa masalah yang besar kepada sekolah.

             Namun segala perancangan yang dirancang oleh mana-mana pihak tidak akan membawa apa-apa manfaat sekiranya diri seseorang guru itu sendiri tidak mempunyai tekad serta keazaman untuk berubah dan memotivasikan diri sendiri.Untuk itu,dalam usaha bagi membanteras gejala ponteng kerja ini,sememangnya ia memerlukan kerjasama yang jitu dari pihak guru itu sendiri dimana seseorang guru hendaklah mempunyai kesedaran untuk sentiasa memperbaiki diri sendiri.Untuk ini,jalan terbaik adalah untuk kembali kepada pegangan agama.In kerana dengan mendalami ilmu agama,seseorang guru itu sedar akan sesuatu peranan dan tanggungjawab yang  diamanahkan perlu dilaksanakan sebaik mungkin serta dilaksanakan dengan hati yang tulus ikhlas.

3.0  RUMUSAN

        Secara kesimpulannya,dalam menempuh kehidupan sebagai seorang guru,sesorang itu hendaklah membuat persediaan yang rapi dari pelbagai aspek terutamanya dari segi ketahanan mental.Ini kerana dalam dunia globalisasi pada hari ini,kerjaya perguruan dilihat menjadi semakin mencabar dan ia sememangnya memerlukan pengorbanan yang tinggi jika seseorang itu mahu menempuhinya.
   
     Isu-isu etika atau salah laku guru yang berlaku pada hari berkemungkinan besar berlaku adalah disebabkan oleh kekurangan persediaan yang rapi daripada bakal-bakal guru yang bakal berkhidmat.Isu ponteng dalam kalangan guru ini sudah menjadi satu wabak yang serius yang mengjangkiti sistem perguruan bidang pendidikan di Negara kita.Jika ianya dibiarkan tanpa sebarang langkah rawatan,sudah tentunya ia akan melumpuhkan system pendidkan di negara kita.

     Sebagai seorang guru,kita hendaklah mengambil iktibar terhadap isu-isu keguruan yang timbul ini supaya kita dapat mengorak langkah bagi menaikkan martabat profesion perguruan ini sekaligus menjadi kerjaya guru sebagai satu kerjaya yang profesional.Untuk itu,bagi menjadi guru yang berkualiti,seseorang guru perlulah menjauhkan diri daripada sebarang isu yang boleh menjatuhkan martabat profesion perguruan.

    Oleh itu,guru perlu sentiasa berusaha meningkatkan kebolehan diri dan melaksanakan tanggungjawab mendidik generasi agar golongan itu bukan sahaja cemerlang dalam pelajaran bahkan dari segi akhlak dan tingkahlaku.Kita seharusnya sanggup untu menggalas tanggungjawab yang diberikan dan bersedia untuk mengorbankan masa dan tenaga demi kemajuan anak muda bangsa seterusnya negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.