Tuesday 4 September 2012

EDU3108: Motivasi Guru Penyumbang Kemenjadian Pelajar


MOTIVASI GURU PENYUMBANG KEMENJADIAN PELAJAR
Oleh
Ammar bin Othman

ABSTRAK

Perkataan ‘motivasi’ diambil daripada perkataan Latin ‘movere’ yang membawa maksud ‘to move’ atau untuk bergerak. Manakala menurut Kamus Dewan (1994),  istilah motivasi ini didefinisikan sebagai sesuatu yang membuat dan mendorong seseorang berusaha untuk melakukan sesuatu dengan penuh minat.  Ramlah (2004) pula mentakrifkan motivasi sebagai sesuatu kuasa yang menggerakkan seseorang melakukan sesuatu untuk mencapai matlamat atau kejayaan.  Selain itu, motivasi juga dilihat sebagai satu rancangan untuk mengelakkan daripada kegagalan. Apabila seseorang individu itu dikatakan sebagai seorang yang bermotivasi, maka ia bererti bahawa ia telah memperoleh kekuatan untuk mencapai kecemerlangan hidup (dunia dan akhirat).

Ainon (2004), menyatakan pakar-pakar psikologi mengkaji motivasi daripada tiga persoalan iaitu dari sudut keamatan, arah perbuatan dan ketekunan.  Menurut beliau darjah keamatan atau intensiti motivasi seseorang dirujuk sebagai darjah kesanggupan seseorang menggunakan tenaganya untuk melakukan sesuatu perbuatan.  Arkes Gaske (1982) dan Mitchell (1982) menyatakan konsep motivasi adalah sesuatu kuasa yang membangun, menentukan arah dan tahap kerelaan tingkah laku sesseorang individu untuk mencapai sesuatu  matlamat.  Schunk (1990) dan Greenberg (1999) pula berpendapat bahawa konsep motivasi ialah satu proses dalaman yang membangkit,  menumpu dan mengekalkan tingkah laku seseorang individu.


PENGENALAN

Terminologi motivasi bukanlah acapkali dikaitkan dengan bidang kemanusiaan. Menurut (Ainon, 2004),  motivasi dilihat sebagai kuasa dorongan yang datang daripada dalam diri seseorang dan juga dorongan yang dipergunakan ke atas individu-individu lain supaya meningkatkan daya usahanya. Tambahan itu, motivasi juga mempunyai hubungan dengan segala tingkah laku atau tindakan yang baik yang mana ianya mampu mempengaruhi perlakuan atau prestasi kerja seseorang.

Motivasi seseorang guru sering dikaitkan dengan sikap guru terhadap kerjayanya. Ia juga dilihat sebagai kesungguhan ataupun keinginan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam lingkungan persekitaran sekolah. Disamping penglibatan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran, motivasi yang biasanya dikaitkan dengan guru turut merangkumi kepekaan guru dalam mengawal disiplin pelajar di dalam bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Lantas, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa motivasi guru memberi kesan yang mendalam terhadap aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dijalankan dalam sesebuah sekolah. Malahan, guru juga dilihat sebagai agen motivasi yang utama dalam menggerakkan para pelajar untuk memajukan diri mereka.

Profesion perguruan adalah berpaksikan kepada falsafah dan objektif pendidikan negara dimana guru merupakan individu yang bertanggungjawab untuk menterjemahkan segala perkataan yang telah termaktub di dalam falsafah dan objektif pendidikan tersebut melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan kemahiran kepada para pelajar. Proses pengajaran dan pembelajaran yang efektif sangat bergantung kepada motivasi seseorang guru tersebut. Manakala motivasi guru tesebut pula dipengaruhi oleh beberapa keadaan. Salah satu daripadanya adalah suasana bilik darjah. Ofoegbu (2004) menyatakan bahawa, jika suasana kelas di mana guru mengajar dalam keadaan selamat,  sihat,  ceria dan mempunyai bahan sumber dan kemudahan pengajaran yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran yang optima,  guru itu akan cenderung untuk terlibat sama dengan pengurusan dan  pentadbiran  penambahbaikan keseluruhan sekolah. Tambahan beliau lagi motivasi guru juga dipengaruhi oleh  gaji, elaun, kemudahan teknologi untuk pengurusan kelas dan penambahbaikan sekolah. 

Terdapat dua jenis motivasi yang biasanya dibincangkan, motivasi dalaman dan luaran. Justeru, seorang guru seharusnya mempunyai motivasi dalaman dan luaran dalam menjalankan dan melaksanakan tugas mereka. Guru yang  mempunyai keperluan motivasi dalaman akan menjalankan tugas dengan ikhlas dan tulus hati tanpa mengharapkan ganjaran.  Malah, hanya kejayaan anak-anak didiknya yang didambakan dan ianya sudah cukup untuk memberi kepuasan hati dan kendirinya.  Sebaliknya pula bagi guru-guru yang mempunyai motivasi luaran di mana mereka melakukan tugas untuk mendapat ganjaran.  Tuntasnya,  matlamat utama penambahbaikan mesti menekankan kepada motivasi dalaman guru untuk mengajar dengan berkesan di samping menyediakan beberapa kemudahan untuk memenuhi motivasi luarannya (Glatthorn, 2006).

Menurut Pintrich (2002), tahap motivasi guru  mempengaruhi motivasi pelajar-pelajarnya untuk belajar. Tahap motivasi guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dapat dikesan melalui perancangan pengajaran dan interaksi guru dengan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berjalan. Mengikut beliau lagi guru yang bemotivasi tinggi akan sentiasa memotivasikan pelajar-pelajarnya agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada pengajarannya. Banyak kajian yang telah dijalankan mengenai cara guru meningkatkan motivasi pelajar. Namun demikian, kajian-kajian yang terdahulu banyak mengaitkan dengan kaedah ganjaran untuk memotivasikan pelajar. Mengikut Keller (1983), banyak kajian lepas hanya berfokus kepada teori pengukuhan operan yang melibatkan ganjaran dalam bentuk gred, keistimewaan,  pujian,  hadiah dan pelekat.

Bagaimanapun, kajian yang dijalankan oleh Stipek (1996) menyatakan yang sebaliknya di mana beliau mendapati semua perkara yang dilakukan oleh guru di kelas sebenarnya mempunyai impak  kepada motivasi pelajar. Beliau mengulas dengan lebih lanjut bahawa ianya bukan sahaja yang berkaitan dengan tindakan motivasi yang biasa seperti menentukan matlamat dan memberi ganjaran kepada pencapaian yang baik sahaja tetapi meliputi semua aktiviti yang berkaitan dengan pengajaran.  Sebagai contoh, seperti membentuk kumpulan pelajar,  teknik menyoal dan bagaimana usaha guru menguruskan kelas serta bagaimana mereka menangani disiplin kelas.

PERBINCANGAN

Kajian tentang motivasi guru dan kaitannya dengan motivasi para pelajar dilihat sebagai satu topik yang kurang diminati dan kurang menarik minat para pengkaji di Malaysia namun ianya agak popular di luar negara.  Sebagai contoh ialah kajian yang dilakukan oleh Goodlad (1984) dan Goodlad & Klein (1970). Hasil dapatan kajian mereka menunjukkan guru-guru yang rendah motivasinya kerap menggunakan kaedah syarahan yang membosankan dan menjejaskan pencapaian akademik pelajar-pelajarnya. Namun demikian, kita masih tidak mendapat gambaran yang jelas mengenai permasalahan ini di Malaysia tetapi, saya yakin bahawa kita mampu mengupas isu ini dengan lebih lanjut dengan berpaksikan kepada rekod pencapaian calon-calon peperiksaan penting seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Guru merupakan salah seorang individu yang memainkan peranan paling penting dalam perkembangan pendidikan seseorang pelajar.  Guru  juga merupakan orang dewasa pertama ‘yang bukan saudara’ yang berhubung terus dengan kanak-kanak (Smith, 1979). Tambahan beliau lagi, melalui guru kanak-kanak didedahkan dengan nilai dan budaya sesuatu masyarakat.  Peranan guru di Malaysia bukan sebagai pendidik yang menyampaikan maklumat berkaitan dengan mata pelajaran yang diajarnya sahaja tetapi juga sebagai pembentuk tingkah laku,  sahsiah, sikap dan nilai pelajar-pelajarnya (Ramlah, 2004). Hal ini adalah bertetapan dengan garis panduan yang telah digazetkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan di mana matlamat utama pendidikan di Malaysia  adalah  untuk melahirkan insan kamil yang serba boleh, baik budi pekertinya,  berilmu dan bertanggung jawab kepada diri, keluarga, agama, bangsa dan negaranya.

Seperti yang dinyatakan, tugas utama guru bukan sahaja setakat mengajar para pelajar tetapi juga perlu mendorong pelajar untuk belajar. Oleh itu, untuk menyiapkan diri sebagai seorang pendorong  pelajar yang terbaik,  seseorang guru tersebut harus mengetahui ilmu-ilmu yang berkaitan dengan motivasi dan perlu mempunyai motivasi yang tinggi dalam melaksanakan tugasnya agar mampu menjadi contoh yang unggul kepada para pelajarnya. Hal ini adalah penting kerana motivasi dalam pembelajaran sangatlah penting terutama dalam mencapai matlamat pembelajaran.  Slavin (1997) mengatakan bahawa .... “Students who are acdemically unmotivated to learn do not learn”. Tambahan itu juga, guru  merupakan golongan manusia yang memberi impak besar kepada masyarakat dan negara. Sejajar dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan, golongan pendidik mengambil peranan kedua selepas ibubapa dalam membentuk sahsiah dan perwatakan pelajar (Khairina Yasin, 2001).  Manakala aspek pengaruh pula, guru adalah insan yang mempunyai pengaruh besar terhadap perkembangan personaliti, mental dan fizikal setiap manusia (Noran dan Ahmad Mahdzan, 1992).

Setiap guru mengetahui mereka perlu mendorong murid-murid mereka supaya rajin belajar dan menjadi individu-individu yang baik dan penuh semangat (Abdullah Hassan, Ainon Mohd., 2004).  Mengikut beliau lagi, guru hanya dapat menjadi pendorong kepada murid-muridnya apabila terdapat hubungan  yang sihat dan positif. Oleh itu, dapatlah disimpulkan di sini bahawa guru yang berkesan adalah guru yang mampu membina dan menjalin hubungan yang baik dengan para pelajarnya secara sihat dan positif bukannya melalui ugutan dan paksaan. Dill (1990) menyatakan bahawa jika pengajaran  guru hanya  setakat menyampaikan maklumat dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk menarik respon pelajar terhadap apa yang disampaikannya maka pengajaran guru menjadi kurang berkesan. Jadi, selain daripada melengkapkan diri dengan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi mengenai subjek yang diajar, seseorang guru itu haruslah mempunyai motivasi yang tinggi dalam penyampaikan ilmunya. Hal ini kerana motivasi guru turut mempengaruhi kualiti pengajaran guru itu.

            Guru-guru yang bermotivasi juga lebih berdedikasi dan bersungguh-sungguh dalam tindakan dan lebih komited daripada guru-guru yang tidak bermotivasi. Menurut Ramlah (2004) guru-guru yang bermotivasi akan membangkitkan dorongan atau motivasi supaya pembelajaran menjadi lebih berkesan, bermakna dan menyeronokkan. Tambahan itu juga, motivasi guru turut dipengaruhi oleh sikap dan minat seseorang itu di dalam profesion tersebut. Pengalaman yang luas dalam bidang pendidikan dan persekitaran serta prasarana yang disediakan oleh pihak sekolah boleh meningkatkan motivasi guru. Sementara penyelidikan yang dilakukan oleh Brown dan McIntyre (1993) mengenai pengajaran berkesan mendapati bahawa guru yang bermotivasi tinggi dapat mencipta persekitaran bilik darjah yang menyeronokkan dan tenang. Guru yang bermotivasi tinggi akan menjadikan mata pelajaran yang diajarnya  bertambah menarik dan tidak membosankan serta mudah difahami dan guru tersebut mampu mengawal diri dari dibelenggu perasaan marah. Sebaliknya suasana kelas guru-guru yang bermotivasi rendah agak membosankan.  Mereka tidak merancang pengajaran dan pelajar-pelajarnya bersikap pasif dan tidak bermotivasi (Glatthorn dan Fox, 1996). 

Menurut Ramlah (2004), usaha guru untuk mendorong pelajar agar bermotivasi bukanlah satu tugas yang mudah. Tileston (2004) pula menyatakan tahap motivasi pelajar adalah penting kerana ia mempengaruhi proses pembelajaran dalam kelas. Menurut beliau lagi, motivasi merupakan sebahagian daripada bakat dalam sistem kendiri dan sistem metakognitif dalam otak manusia yang mempengaruhi keupayaan pelajar  untuk memberi tumpuan kepada pembelajaran, memulakan sesuatu tugasan dan menyiapkannya. Beliau mengulas, guru boleh menjana motivasi pelajar melalui kaedah ganjaran intrinsik dan ektrinsik.  Tambah beliau lagi,  pelajar yang mempunyai motivasi intrinsik akan berusaha kuat dan belajar bersungguh-sungguh untuk kepuasan dirinya.  Sebaliknya pelajar yang mempunyai motivasi ektrinsik akan berusaha bersungguh-sungguh  untuk mendapat ganjaran luaran.

Seseorang guru sebenarnya tidak dapat memotivasikan para pelajar kerana mereka sendiri yang bertanggungjawab untuk mencari motivasi (Tileston, 2004). Oleh yang demikian, apa yang boleh dilakukan oleh seseorang guru tersebut ialah dengan mengambil pendekatan untuk mengajar para pelajarnya teknik atau pun kemahiran yang dapat membimbing mereka melakukan sesuatu tugasan yang diberikan oleh guru. Manakala menurut cendekiawan Marzano (1992), guru boleh membina motivasi intrinsik pelajar dengan cara memberi motivasi ekstrinsik terlebih dahulu. Sebagai gambaran, guru boleh memulakan pengajarannya dengan memberi ganjaran ektrinsik bagi menarik minat pelajar. Kemudian, apabila pembelajaran menjadi lebih menarik, sudah tentu rasa ingin tahu dalam diri pelajar meningkat. Namun demikian, Jensen (1997) berpendapat bahawa . Bagi pelajar berisiko atau pelajar berpencapaian rendah pula  pergantungannya kepada kaedah ganjaran dalam meningkatkan motivasinya akan berterusan sepanjang hayat dan mereka tidak akan berupaya sepenuhnya menggunakan  motivasi intrinsik semula jadi yang dikawal oleh kendiri dan sistem metakognitifnya

Tugas seorang guru bukan setakat untuk meningkatkan motivasi pelajar tetapi juga mengenalpasti, menggalak dan memandu motivasi pelajar untuk belajar dan menarik perhatian mereka dalam aktiviti ke arah pembelajaran (Slavin, 1997). Pendapat ini turut disokong oleh Gage dan Berliner (1984) di mana mereka berpendapat bahawa motivasi pelajar berubah mengikut darjah keamatan dan arah. Darjah keamatan motivasi pelajar untuk terlibat dalam sesuatu aktiviti pengajaran bergantung kepada arah motivasi pelajar untuk tertarik kepada aktiviti alternatif yang terdapat dalam pengajaran guru. Disamping itu, motivasi bukan sahaja penting bagi menarik minat  pelajar dalam aktiviti pembelajaran tetapi yang lebih penting lagi ialah untuk menentukan sejauh mana pencapaian  pelajar dalam  aktiviti yang disertai atau berapa banyak maklumat yang telah didedahkan kepada mereka (Fenstermacher dan Soltis, 1998).
            Sebelum seorang guru yang menyandar jawatan sebagai pendidik yang profesional, beliau haruslah mengikuti kursus perguruan terlebih dahulu. Selain itu, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang wajib dipelajari seperti kaedah mengajar yang tepat,  kemahiran mengurus bilik darjah dan sebagai seorang pembimbing yang bermotivasi tinggi amatlah penting sekali untuk dipelajari. Latihan-latihan yang telah diterima semasa melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan) atau di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memainkan peranan yang penting dalam menggarap motivasi seseorang guru tersebut. Malah, para guru juga dikehendaki mengikuti dan menghadirikan diri ke kursus-kursus pendek anjuran sekolah mahupun yang dianjurkan oleh Pejabat Pelajaran Daerah (PPD). Namun begitu, acapkali kita lihat bahawa motivasi yang dahulunya dilihat berada dipuncak kini kian merudum apabila para guru menjalankan tugasan mereka di sekolah. Banyak faktor yang menyumbang kepada permasalahan ini dan antaranya ialah prasarana di sekolah yang tidak lengkap atau usang yang tidak dapat menyokong pengajaran berkualiti dan sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan mereka.

Tambahan itu lagi, keadaan bilik darjah yang panas dan sempit dan alat bantu mengajar tiga dimensi yang kurang merupakan contoh persekitaran yang melemahkan motivasi pengajaran guru. Lebih memburukkan keadaan, tingkah laku para pelajar masa kini yang sangat dimanjakan oleh ibu bapa dan para pelajar yang tidak berdisiplin dan pemalas menyumbang kepada penurunan motivasi seseorang guru dan mejadikan proses pengajaran dan pembelajaran semakin sukar serta mencabar. Selain itu guru juga dibebankan dengan tugas bukan mengajar seperti kerja-kerja pengkeranian, mengecat sekolah, menjaga kesihatan pelajar,  membekalkan maklumat kepada Pejabat Pelajaran Daerah dan Negeri menyebabkan guru kekurangan masa untuk membuat persediaan rapi sebelum masuk ke kelas (Yong, 2006).  Oleh yang demikian, apabila para guru dibebankan dengan bebanan tugas yang bercambah, maka mereka akan menjadi kurang bersedia untuk mengajar dan akhirnya fokus untuk mengajar terus lenyap. Kesannya, proses pengajaran dan pembelajaran tidak berkesan dan menyumbang kepada kemerosotan pencapaian para pelajar.
Selain itu, sikap para guru terhadap profesion perguruan itu sendiri turut menyumbang kepada prestasi kerja dan motivasi yang ditunjukkan oleh mereka. Antaranya, bidang perguruan ini mempunyai cuti yang agak panjang dan pendapatannya juga terjamin menarik minat orang ramai untuk memohon menjadi guru. Oleh itu, tujuan mereka untuk menjadi guru bukan lagi atas niat yang ikhlas dan bermakna kerana mereka menceburi bidang ini semata-mata untuk mendapat jaminan pekerjaan dan pendapatan sahaja. Lebih menyedihkan, ada segelintir di kalangan mereka ini yang hanya ke kelas untuk menyampaikan pengajaran mereka dan menghabiskan sukatan pelajaran. Mereka langsung tidak endah sama ada proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan itu berkesan atau tidak. Lebih teruk lagi sekiranya mereka ini diberikan mandat untuk mengajar kelas yang lemah. Sudah semestinya mereka tidak berusaha gigih untuk memotivasikan para pelajar dalam kelas tersebut kerana mereka sendiri tidak bersemangat untuk mengajar. Akhirnya, mereka gagal menjalankan tugas mereka dan para pelajar tidak dapat mencapai pencapaian yang cemerlang.

Kajian yang dijalankan oleh Glatthorn (1996) di Amerika Syarikat mendapati bawaha sesetengah guru turut menceburkan diri dalam melakukan kerja sambilan seperti mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjual insurans dan juga menjadi agen syarikat jualan langsung bagi mencari pendapatan lebih turut menyumbang kepada kemerosotan motivasi seseorang guru tersebut. Tambahan beliau lagi, keadaan ini juga turut menyumbang kepada perlakuan pasif yang ditunjukkan oleh para pelajar hasil daripada sikap yang negatif yang ditonjolkan oleh guru yang tidak bermotivasi ini. Hasil dapatan kajian yang dilakukan ini dilihat turut mempunyai persamaan dengan kajian yang telah dijalankan oleh Azman (1999) di mana beliau mendapati bahawa motivasi rendah guru-guru yang mengajar di enam buah sekolah menengah berprestasi rendah di Kluang Johor mempengaruhi keputusan yang rendah pelajar-pelajarnya di peringkat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sebagai tuntasnya, tahap motivasi guru yang rendah boleh mempengaruhi tahap motivasi para pelajar untuk menelaah ilmu. Para pelajar sering kali dilihat menjadi hilang minat dan gagal memberikan tumpuan yang sepenuhnya sekiranya pengajaran yang diajarkan oleh guru tersebut membosankan dan pasif. Hal ini seterusnya mampu menyumbang kepada pembantutan perkembangan kognitif para pelajar itu sendiri dan fenomena ini sudah semestinya akan menimbulkan rasa kurang senang dan gelisah dalam diri semua pihak sama ada pihak sekolah, ibu bapa malahan para pelajar itu sendiri.

RUMUSAN

Sebagai rumusan kepada topik yang dibincangkan di atas, perkataan motivasi itu bolehlah ditakrifkan sebagai satu daya atau tenaga yang boleh menyebabkan berlakunya proses membentuk tingkah laku atau pembentukan peribadi yang boleh mendorong manusia untuk  bertindak ke arah  mencapai  matlamat tertentu. Oleh yang demikian, berdasarkan konotasi motivasi ini, sesungguhnya tidak dapat disangkal lagi betapa pentingnya motivasi itu dalam diri seorang insan yang bergelar pendidik di mana tugas yang dipikul sebagai seorang pendidik itu amat besar sekali iaitu bukan sahaja sebagai tenaga pengajar, malahan juga sebagai sebagai seorang pendorong motivasi ke arah kejayaan para pelajarnya sendiri. Lebih daripada itu, istilah keramat motivasi ini juga boleh dilihat sebagai satu kebolehan semula jadi di mana seiring individu itu berusaha dengan bersungguh-sungguh dan gigih dalam memperkembangkan serta memajukan diri mereka ke arah yang positif. Jadi, sudah menjadi satu tanggungjawab yang ulong bahawa tugas guru adalah untuk merubah dan memupuk motivasi yang positif dalam diri setiap pelajar mereka. 



No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.